Lama tak update blog. Entri kali ini adalah dedikasi untuk ayahanda tercinta, yang baru sahaja tinggalkan kami sekeluarga tanggal 1 Mac 2019 nan lalu. Ini adalah hari ke-7 ayah pergi tinggalkan mak.
Ayah dan mak telah berumahtangga lebih kurang 54 tahun. Masa usia ayah 25 tahun dan usia mak 16 tahun. Ayah kacak macam muka campuran benggali. Mak pula muka jawa sejati. Tapi tidak pernah sekali ayah terjebak dengan episode jatuh cinta kepada wanita lain selepas berkahwin sama sekali. Alhamdulillah.
Rumahtangga mana yang tidak ada ujiannya. Mak dan ayah juga diuji tatkala ayah semakin tua dan sakit. Bukan diuji dengan curang atau tak setianya mana-mana pihak. Tetapi Allah bagi mak untuk tingkatkan kesabaran sebagai isteri semasa ayah makin berumur. Ada sahaja benda tidak kena, pasti ayah marah-marah dan membebel kepada mak. Isu jadi ketua blok, isu sediakan makan minum pekerja lading Indonesia, isu salah letak barang, isu pinggan mangkuk. Mak jadikan kami adik beradik sebagai tempat mencurah rasa. Kami sabarkan mak dengan macam-macam alasan. paling kerap aku katakan, "ayah tu andropause, gejala menopause lelaki". juga kerana hormone tidak stabil dek keperluan kepada insulin. maka, ayah dan sikap marah-marah berpisah tiada. sampai pernah mak rasa merajuk nak lari rumah. tapi mujur mak masih sabar dan pemaaf.
Ayah sebagai suami dan ayah.
Walau mungkin hujung hayatnya, ayah jadi pemarah dan perengus tetapi sepanjang perkahwinan, ayah adalah lelaki yang sangat baik dan bertanggungjawab. Ayah boleh tukar lampin anak-anak tanpa mengeluh, ayah boleh jaga anak-anak sendirian dan lepaskan mak menonton wayang dengan kawan-kawan, ayah boleh memasak mihun sup yang sedap, ayah tak kisah mak masak apa-apa tanpa pernah complaint tak sedap atau sebagainya. Ayah sentiasa beri kad atm felda untuk mak pegang dan uruskan belanjawan rumah, malah semasa gaji dibayar cash pun ayah beri mak kesemuanya, ayah hanya ambil 200-300 sahaja untuk minyak motor dan keperluan diri.
Ayah seorang yang setia. Walau ayah perlu pergi kerja merata sebagai askar wataniah dahulu, tetapi cintanya tetap pada mak sahaja. Tidak pernah ayah berlaku curang sebab ayah tahu mak dan anak-anak adalah harta dan sumber ayah cari pahala di dunia. Dari segi kerja juga, ayah setia pada satu syarikat begitu lama. Walau hanya pengawal keselamatan, tetapi ayah cukup bahagia dengan jawatan yang dia ada. Kenapa ayah tidak hanya jadi peneroka mengait sawit? Ayah tidak boleh kait kelapa sawit dan buat kerja berat sangat. Tangannya pernah cedera ditembak oleh saudara mara sendiri akibat konflik keluarga. Maka, ayah tidak berpoya-poya di rumah kerana kelemahan tangannya. Sebab itu ayah gigih bekerja sebagai pengawal keselamatan adanya. kerana ayah tahu, dia ada 8 mulut untuk diberi makan dan 7 anak-anak yang perlu disekolahkan.
Ayah tak berat tulang. Seorang suami yang boleh diharap untuk tolong buat kerja dapur. Contohnya basuh pinggan dan kemas dapur. Tetapi selalunya mak akan basuh semula pinggannya, sebab kata mak ada sabun lagi atau masih licin dek minyak berbaki. :')
Ayah memang tipikal lelaki Melayu. Yang punya ego tinggi sebagai lelaki. Tetapi ayah tahu bilamasa untuk rendahkan ego sebagai ayah dan suami.
Perginya ayah tinggalkan kami dengan mudah sekali. Walau hayatnya ayah bukanlah seorang yang selalu mengaji alquran, tetapi ayah menjaga solatnya. 7 anak ayah semuanya pandai mengaji alquran. Walau ayah bukanlah dari kalangan ustaz yang hebat ilmu agamanya, tetapi Allah swt ringankan sakaratul maut ayah dengan senang sekali. Ayah adalah seorang lelaki biasa. Tetapi aku percaya khusnul khatimah dan keringan sakaratul maut yang ayah dapat adalah dari perilaku sebagai ayah dan suami yang luar biasa.
Buat semua yang bergelar suami, percayalah bahawa jika kalian menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hubungan dengan anak dan isteri, sentiasa setia dan percaya pada kasih sayang keluarga, insyallah pengakhiran yang baik juga akhir hayat nanti. Isteri, tidak perlukan suami seorang ustaz atau ulama' untuk menempah sebuah syurga. Sebaliknya cukup seorang suami yang biasa, sederhana tetapi sentiasa menjaga hubungan baik dengan keluarga dan mengajak isteri dan anak-anak berbuat kebaikan di dunia sesama manusia..selain menjaga kehormatan diri sendiri dan keluarga.
damailah ayah di sana. ayah sentiasa yang terbaik di hati kakak.
Al-fatihah
Haji Abdul Hamid bin Mohamed
23 Ogos 1940 ~ 1 Mac 2019
al fatihah.. salam takziah madam
ReplyDeleteAl Fatihah. Takziah Khai.
ReplyDeleteAyah yang hebat ayah, yang dikenang kenanv dan didoakan anak-anak sepanjang masa.